Belanjawan 2025 Negeri Johor • Bantuan Untuk Pelajar Cina dan India• Peruntukan untuk SJKC SMPC dan Kolej Universiti Selatan
(Johor Bahru 21hb) Menteri Besar Johor Dato' Onn Hafiz mengumumkan RM12 juta diperuntukkan kepada masyarakat Cina dan India dalam Belanjawan 2025 yang mana Kolej Universiti Selatan (南方大学学院) akan mendapat RM1juta daripada peruntukan tersebut
Beliau berkata, melalui Yayasan Sultanah Fatimah, Yayasan Sultanah Rogayah dan NGO lain, kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM12 juta untuk membantu masyarakat Cina dan India dengan meluaskan rangkaian bantuan kepada golongan memerlukan dengan memperkasakan kerja-kerja kebajikan masyarakat.
Menurut beliau, peruntukan itu termasuklah bantuan pendidikan RM3 juta, yang akan dimanfaatkan oleh 6,000 pelajar Cina dan India daripada keluarga kurang berkemampuan, dan peruntukan RM1 juta kepada Kolej Universiti Selatan (南方大学学院) yang akan dimanfaatkan oleh 500 mahasiswa.
Tambah beliau, 217 SJKC di Johor masing-masing akan menerima peruntukan RM5,000 sebagai dana penyelenggaraan pejabat guru berjumlah RM1.085 juta yang tidak termasuk dalam peruntukan RM12 juta disebut tadi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Ling Tian Soon berkata daripada RM3 juta bantuan pendidikan, RM1.5 juta akan diperuntukkan kepada pelajar India, dan RM1.5 juta lagi akan diperuntukkan kepada 3,000 pelajar yang sedang menuntut di 10 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di seluruh negeri Johor.
“Bagi peruntukan Pertubuhan Cina dan Tokong, walaupun Menteri Besar tidak menyatakannya, ia termasuk dalam jumlah RM12 juta yang disebut tadi.”
Sumber : Johor China Press 21-11-2024

Ulasan
Catat Ulasan