MCA DAP GERAKAN 3 Parti Janji Teruskan Usaha Iktiraf UEC
(Kajang, 22hb) Pengerusi Dong Zong, Tan Yew Sing berkata, hasil daripada dialog dengan DAP, MCA dan Gerakan, ketiga-tiga parti itu telah menyatakan kesediaan untuk mengaturkan pertemuan antara Dong Zong dengan sekutu politik masing-masing. Tujuan pertemuan itu adalah untuk meningkatkan pemahaman antara satu satu sama lain dan membincangkan dengan mendalam isu pengiktirafan UEC.
Kata Tan Yew Sing, Dong Jiao Zong telah mengadakan pertemuan dengan MCA pada 12 Mac dan menemui DAP serta Gerakan pada 20 Mac. Pertemuan-pertemuan ini membincangkan isu berkaitan pengiktirafan UEC, pelaksanaan dasar pendidikan, serta pembangunan pendidikan Cina. Hasilnya beberapa persefahaman bersama telah dicapai.
"Dalam isu pengiktirafan UEC, kami telah menerima janji secara lisan daripada ketiga-tiga parti ini bahawa mereka akan terus bekerjasama dengan kami untuk menggesa kerajaan mengiktiraf UEC secara rasmi. Selain itu, kami juga akan bersama-sama memantau tindakan kerajaan."
Beliau berkata demikian dalam sidang media hari ini, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat Dong Zong.
Tan Yew Sing berpendapat kini ialah masa terbaik untuk menggerakkan usaha pengiktirafan UEC kerana tiga parti politik tersebut menerima pengiktirafan UEC sebagai tuntutan utama Dong Zong. Beliau berkata dialog kali ini telah membuahkan hasil kerana ia bukan sahaja telah meningkatkan pemahaman dalam kalangan ahli politik mengenai UEC, bahkan juga berjaya memperolehi sokongan pelbagai pihak terhadap usaha Dong Zong dalam memperjuangkan pengiktirafan UEC.
Menurut beliau, dalam sesi dialog tersebut, Dong Zong telah memberikan data dan maklumat terperinci kepada parti-parti politik bagi membetulkan salah faham masyarakat terhadap UEC.
Tambah beliau, walaupun kerajaan sekarang ialah kerajaan perpaduan yang terdiri daripada lebih 10 buah parti, ketiga-tiga parti ini tetap bertanggungjawab menjalankan pemantauan bersama.
"Semasa pertemuan dengan mereka kali ini, kami telah menyerahkan semua maklumat berkaitan Dong Zong kepada mereka. Mereka haruslah berkomunikasi dengan sekutu politik dalam gabungan masing-masing agar mereka faham pendidikan Cina dan UEC membawa banyak manfaat kepada daya saing negara serta pembangunan bakat, tanpa sebarang kesan buruk." Kata Tan Yew Sing.
*Dong Zong Membuka Pintunya• Bersedia Berunding dengan Parti Politik Melayu*
Tan Yew Sing turut menegaskan bahawa Dong Zong sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan mana-mana parti politik, termasuk PKR, Bersatu, PAS, serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS), untuk berdialog dengan Dong Zong.
"Kami sememangnya mempunyai hasrat ini. Namun, disebabkan kami tidak begitu mengenali parti-parti tersebut, kami berharap tiga parti yang telah kami temui sebelum ini dapat memainkan peranan sebagai jambatan yang akan membina saluran komunikasi agar kami berpeluang menjemput pihak berkaitan untuk berdialog."
"Sebelum membuat jemputan rasmi, kami akan terlebih dahulu menjalankan komunikasi bagi mengelakkan sebarang ketidaksefahaman. Keadaan ketika ini agak positif kerana ketiga-tiga parti tersebut (MCA, Gerakan, DAP) telah menyatakan kesediaan untuk membantu kami serta berjanji akan turut menggerakkan usaha ini."
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa isu UEC tidak seharusnya dipolitikkan atau dijadikan sebagai alat dalam persaingan politik antara parti. Sebaliknya, semua pihak harus bekerjasama untuk menggerakkan dan memantau pelaksanaan janji yang telah dinyatakan dalam manifesto pilihan raya.
Sumber : Oriental Daily 22-3-2025

Ulasan
Catat Ulasan