Oh Tong Keong: Sokong Pertubuhan Pendidikan Cina Tolak Penyelarasan Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah
Timbalan presiden GERAKAN Oh Tong Keong menegaskan bahawa GERAKAN menyokong sepenuhnya keputusan 9 pertubuhan pendidikan Cina yang diketuai oleh Dong Jiao Zong iaitu tegas menolak inisiatif Kementerian Pendidikan untuk menyelaraskan kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah SK, SJKC dan SJKT serta menggesa Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh agar menyampaikan pendirian tegas pertubuhan pendidikan Cina kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berhubung perkara tersebut.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, Oh Tong Keong berkata GERAKAN bersetuju dengan pandangan Pengerusi Jiao Zong Cheah Lek Aee bahawa SJKC menggunakan bahasa ibunda-Mandarin sebagai bahasa pengantar, manakala kelas bahasa Melayu di SJKC adalah untuk membolehkan murid mempelajari bahasa kedua.
"Ia berbeza sama sekali dengan keadaan di SK. Bahasa pengantar di SK ialah bahasa Melayu, dan kurikulum bahasa Melayu di SK membolehkan murid mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Oleh itu, mana mungkin SJKC menggunakan kaedah pembelajaran dan kurikulum bahasa Melayu yang sama dengan SK?”
Menurut beliau, perkara yang berharga tentang sekolah vernakular ialah pembelajaran menggunakan bahasa ibunda yang mempunyai kaedah pengajarannya sendiri maka Kementerian Pendidikan tidak sepatutnya memaksa sekolah vernakular menggunakan buku teks dan kurikulum bahasa Melayu SK kerana ia ibarat tikus membaiki labu yang akan menjejaskan minat dan kemajuan murid selain melambatkan proses penguasaan bahasa Melayu murid SJKC.
“Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh harus memandang serius kesalahan dalam dasar Kementerian Pendidikan ini dan segera menyampaikan pendirian pertubuhan pendidikan Cina kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, pada masa yang sama turut membatalkan mesyuarat antara Kementerian Pendidikan dengan Kumpulan Pendidikan Cina berhubung penyelarasan Kurikulum Bahasa Melayu.”
Sumber: KwongWah Online 27-8-2024

Ulasan
Catat Ulasan