Operasi Papan Tanda DBKL Beri Implikasi Besar• 15 ribu Pengusaha Restoran China Bersuara
(Petaling Jaya 24 hb) Operasi membanteras papan tanda bahasa Inggeris dan Cina oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberikan implikasi besar kepada pengusaha restoran China. Presiden Persatuan Pengusaha Restoran China Malaysia Gao Hao Yun berkata tindakan DBKL itu telah menyebabkan 15 ribu usahawan menanggung bebanan kos tambahan.
Oleh itu, beliau menyeru DBKL mengambil kira nilai budaya dan keadaan semasa industri restoran China di Malaysia selain mengambil pendekatan berhemah agar dapat mengimbangi antara tanggungjawab mentadbir bandar dan usaha mendukung perkembangan industri tersebut demi kerjasama China-Malaysia yang memberi manfaat kepada pengguna dan pengusaha kedua-dua buah negara.
Tambah beliau, kadar pertumbuhan restoran China di Malaysia meningkat sebanyak seribu kali ganda, dengan hanya 10 buah restoran pada 2004 berbanding 15 ribu buah yang ada sekarang.
“Kami juga telah menyediakan lebih daripada 100,000 pekerjaan sekaligus menjadi salah satu industri pemacu pertumbuhan ekonomi, yang dengan jelas menggalakkan pertukaran budaya serta kerjasama ekonomi antara China dan Malaysia."
"Khususnya 85% perusahaan restoran China yang menerima pakai model perniagaan kerjasama China-Malaysia, mereka bukan sahaja telah berintegrasi dalam ekosistem perniagaan tempatan bahkan menonjolkan kepelbagaian budaya."
"Dengan itu, bebanan kos akibat operasi papan tanda kali ini tidak boleh diambil ringan. Dari reka bentuk, pembuatan sehingga pemasangan papan tanda baharu, setiap proses menyebabkan pengusaha menanggung kos, lebih-lebih lagi ketika kos bahan mentah dan tenaga kerja meningkat"
Kata Gao Hao Yun, papan tanda bukan sekadar lambang sesebuah kedai, kerana ia juga jendela yang mempamerkan budaya sesebuah perusahaan. Justeru itu, beliau berpendapat DBKL seharusnya mempertimbangkan sumbangan positif industri restoran China terhadap pembentukan kepelbagaian budaya dan perkembangan ekonomi Malaysia dalam dasar pentadbiran bandar.
Beliau berharap pihak berkaitan mendengar pandangan pemain industri tersebut dan memahami kesusahan mereka serta menambah baik dasar yang sedia ada.
"Kami akan berunding dengan DBKL dan agensi berkaitan untuk mendapatkan penyelesaian yang munasabah bagi isu papan tanda agar para pengusaha yang sedang menghadapi cabaran mendapat bantuan diperlukan selain memastikan agar industri ini dapat berkembang dengan stabil dan memberi manfaat kepada pengusaha serta pengguna kedua-dua buah negara, China dan Malaysia"
Sumber : Sin Chew Daily 24-11-2024

Ulasan
Catat Ulasan